Harga emas dijangka kekal tinggi dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

KUALA LUMPUR: Harga emas pukal berasaskan ringgit yang naik melebihi RM200 segram, paras tertinggi dalam sejarah, dijangka kekal di atas aras berkenaan bagi tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Ia berikutan langkah pelabur beralih kepada aset selamat di tengah-tengah kebimbangan mengenai penularan coronavirus, setelah kegusaran sebelum ini mengenai kesan perang dagang Amerika Syarikat (AS)-China serta ketidakstabilan geopolitik global.

Pada Jumaat, harga emas pukal berasaskan ringgit ditutup pada RM209.11 segram, penutup tertinggi dalam sejarah.

Dalam tempoh enam bulan, setahun dan lima tahun lalu, harga logam berharga berasaskan ringgit masing-masing telah meningkat sebanyak 3.6 peratus; 21.54 peratus dan 47.49 peratus.


Ketua Perbendaharaan Ace Innovate Asia Bhd, Liew Kim Fung, berkata coronavirus yang mencetuskan panik di seluruh dunia akan memberi sokongan sementara kepada harga emas tetapi belum bersedia untuk melepasi paras halangan teknikal AS$1,700 seauns (RM6,996) atau RM246.80 segram.

Katanya, seluruh dunia beralih ke aset lindung nilai dan harga emas berada dalam aliran meningkat disebabkan kejatuhan drastik pasaran ekoran ekoran kelembapan aktiviti perniagaan.

“Coronavirus hanya memberi sokongan sementara tetapi kukuh kepada emas. Saya belum melihat keinginannya untuk melepasi paras AS$1,700 seauns, melainkan adanya perubahan drastik dalam dasar ekonomi Amerika Syarikat (AS),” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kim Fung berkata, pengukuhan harga emas disebabkan coronavirus adalah berdasarkan teori kebimbangan dengan pelabur beralih kepada logam berharga itu meskipun harganya ketika ini adalah sangat tinggi.

“Keadaan ini kebiasaannya tidak bertahan lama dan apabila ia (coronavirus) berakhir, anda akan dapat melihat harga emas akan jatuh mendadak ke tahap sokongan semasa.

“Pelabur akan mengambil untung, manakala pelombong pula akan menjual emas niaga hadapan untuk melindung nilai harga yang tinggi itu,” katanya.

Beliau berkata, secara realitinya emas sudah menikmati manfaat dari pelabur serta khabar angin berdasarkan fakta strategi jual dan beli.

“Di sisi lain, pelabur biasanya membeli melalui dana dagangan bursa (ETF) atau niaga hadapan, tetapi pengguna membeli barang kemas fizikal. Virus ini menyebabkan kurang aktiviti perniagaan dan orang biasa tidak akan membeli perhiasan pada masa ini.

“Akibatnya, permintaan fizikal sebenar untuk emas (perhiasan) akan menurun terutamanya di pasaran China. Mungkin lebih banyak negara akan mengikuti perkara yang sama. Jika coronavirus terus menular, saya akan katakan bahawa tunai adalah ‘emas’ sebenar untuk membeli keperluan asas untuk kelangsungan hidup dan ia menyebabkan harga emas turun lebih rendah,” katanya.

SOURCE FOREX.KINI

Komen anda

Scroll to Top
Ada pertanyaan mengenai Weltrade? Hubungi team kami melalui WhatsApp di bawah atau melalui email kami [email protected].