Maybank tawar moratorium kepada pelanggan yang terjejas kerana COVID-19 Haikal Raman, Astro Awani | Diterbitkan pada Mac 17, 2020 13:53 MYT

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd. (Maybank) menawarkan penangguhan pembayaran semula pinjaman sehingga tempoh enam bulan kepada pelanggannya yang terjejas berikutan penularan wabak koronavirus baru (COVID-19).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pihaknya turut menawarkan penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan menerusi langkah itu.
“Inisiatif yang diperkenalkan ini ditawarkan kepada pelanggan perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelanggan yang terjejas akibat COVID-19.

“Syarikat memahami penyebaran wabak virus secara tiba-tiba ini memberi kesan kepada individu dan pelanggan daripada pelbagai industri justeru itu, penawaran yang disediakan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pelanggan yang terjejas boleh menghubungi pihak Maybank bagi membincangkan penyelesaian dalam mengatasi sebarang cabaran kewangan yang dihadapi.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, kami akan mengambil kira kemungkinan untuk melanjutkan tempoh moratorium dan langkah inisiatif yang ditawarkan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kumpulan Maybank menerusi bahagian insuransnya, Etiqa akan menyediakan perlindungan hospital kepada pemegang polisi insurans hayat dan keluarga yang sakit akibat koronavirus.

source from http://www.astroawani.com/berita-bisnes/maybank-tawar-moratorium-kepada-pelanggan-yang-terjejas-kerana-covid-19-233978

Komen anda

Scroll to Top