Perintah Kawalan Pergerakan lindungi ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 daripada terus merebak adalah langkah penting yang akan memberi kesan positif kepada ekonomi jangka panjang, kata penganalisis ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kegiatan ekonomi dijangka sedikit terjejas berikutan langkah berkenaan kerana premis perniagaan serta kegiatan riadah dan sebagainya tidak beroperasi seperti biasa.

Perkara itu, jelasnya, akan memberi kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam jangka masa terdekat.

“Namun, jika COVID-19 dapat dikekang, ia bakal memberi kesan positif kepada ekonomi pada masa akan datang kerana akan berlaku proses normalisasi selepas virus ini dapat dicegah daripada terus menular.

“Justeru, rakyat perlu memahami mengapa langkah seperti ini diambil. Dalam keadaan sekarang, isu berkaitan kesihatan adalah satu keutamaan kerana kita memerlukan rakyat yang sihat untuk melakukan aktiviti ekonomi,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, sekiranya wabak COVID-19 tidak dibendung secara berkesan, dikhuatiri ia boleh memudaratkan ekonomi negara.

Dalam hal ini, beliau berkata, komunikasi antara kerajaan dan rakyat perlu diperkasakan supaya tidak berlaku salah faham.

“Kerajaan juga perlu memantau harga barang supaya tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata, kos kerugian dari segi ekonomi boleh mencecah sehingga berbilion-bilion ringgit, namun buat masa sekarang adalah sukar untuk memastikan jumlah kerugian sebenar.

Bagaimanapun, jelasnya, berdasarkan pengiraan paling mudah, iaitu mengambil kira angka KDNK harga semasa tahun lalu, iaitu RM1.51 trilion dan dibahagikan dengan 360 hari, KDNK harian pada 2019 adalah RM4.2 bilion sehari.

“Dengan anggaran Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan aktiviti ekonomi hanya beroperasi setengah daripada kapasiti biasa, mungkin kita melihat kehilangan KDNK sekitar RM2 bilion sehari, sekiranya mengambil KDNK harga semasa 2019 sebagai rujukan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata Perintah Kawalan Pergerakan sememangnya memberi kesan kepada ekonomi dan perniagaan kerana banyak premis perniagaan akan ditutup.

Namun, tegasnya, ia tidak akan kekal lama kerana perintah berkenaan bergantung kepada tempoh kuarantin yang ditetapkan selama dua minggu.

“Kos kerugian dianggarkan mencecah bilion ringgit, namun angka yang tepat sukar diperoleh. Tidak semua aktiviti ekonomi terhenti sepanjang tempoh itu. Pasar raya akan kekal dibuka supaya bekalan makanan mencukupi, tetapi akan dipantau supaya tidak berlaku jangkitan,” katanya.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata impak Perintah Kawalan Pergerakan dari segi kos, sememangnya agak tinggi memandangkan ia boleh menyebabkan ekonomi Malaysia mengalami pertumbuhan negatif pada suku pertama tahun ini.

“Namun, jika kerajaan dapat mengawal penularan pandemik itu, ekonomi negara mungkin berada pada tahap yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

SUMBER (forexkini.com/2020/03/perintah-kawalan-pergerakan-lindungi.html)

Komen anda

Scroll to Top