Ringgit dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini memandangkan minat risiko pelabur dalam tempoh semalaman yang muncul di pasaran maju telah mendorong sentimen positif ke atas mata wang tempatan.

Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan pada 4.3400/3500 berbanding dolar AS daripada 4.3600/3700 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pasaran maju dilihat mengalami minat risiko dalam kalangan pelabur malam tadi memandangkan jumlah kes kematian akibat COVID-19 di beberapa negara telah susut sekali gus memberi harapan keadaan itu akan pulih.

Beliau berkata, pasaran ekuiti mencatatkan prestasi lebih baik dengan indeks utama seperti Dow Jones, S&P 500 dan Nasdaq masing-masing ditutup tujuh peratus lebih tinggi berbanding angka semasa penutupan pada Jumaat.

“Indeks Turun Naik (VIX) (di Bursa Opsyen Lembaga Chicago (CBOE)) turun secara ketara kepada 45.24 mata pada masa ini daripada lebih 85 mata pada Mac, menunjukkan pelabur mempunyai kecenderungan untuk mengambil sedikit risiko walaupun masih berhati-hati.

“Berdasarkan itu, ringgit dijangka bergerak lebih tinggi berbanding dolar AS hari ini di antara RM4.33 dengan RM4.35,” katanya.

VIX CBOE adalah pengukur jangkaan turun naik pasaran saham bagi tempoh 30 hari.

Ringgit juga didagangkan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6813/6945 daripada 4.7132/7248 pada Isnin dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0316/0388 daripada 3.0417/0498.

Unit tempatan naik berbanding yen kepada 3.9806/9901 daripada 3.9919/0015 semalam serta stabil berbanding pound Britain kepada 5.3048/3201 daripada 5.3619/3751.

Sumber (http://www.forexkini.com/2020/04/ringgit-dibuka-lebih-tinggi.html)

Komen anda

Scroll to Top
Ada pertanyaan mengenai Weltrade? Hubungi team kami melalui WhatsApp di bawah atau melalui email kami [email protected].