Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah hari ini berikutan ketidaktentuan sentimen global, sekali gus menamatkan pengukuhannya selama empat hari berturut-turut berbanding dolar AS, kata peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit disebut harga pada 4.2775/2875 berbanding dolar AS daripada 4.2430/2500 yang dicatatkan semalam.

Seorang peniaga berkata selepas mencatat prestasi kukuh awal minggu, ringgit dijejaskan oleh penurunan harga minyak dan peningkatan sentimen mengelak risiko.

Minyak mentah penanda aras global seperti Brent susut 3.50 peratus kepada AS$37.20 setong hari ini manakala WTI turun 4.43 peratus kepada AS$34.73 setong berikutan kebimbangan membabitkan peningkatan jumlah kes COVID-19 di beberapa negeri AS yang menjejaskan permintaan terhadap minyak mentah berkenaan.

Selain itu, dolar AS turut menokok 0.81 peratus kepada 96.733 didorong oleh peningkatan beberapa petunjuk utamanya termasuk tuntutan pengangguran bagi minggu berakhir 6 Jun yang merosot kepada 1.5 juta daripada 1.9 juta pada minggu sebelumnya.

Pada pagi ini, ringgit bagaimana pun kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia bagaimana pun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0659/0741 daripada 3.0613/0675 semalam namun tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3670/3812 daripada 5.3844/3954 pada Khamis.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0104/0205 daripada 3.9665/9742 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8242/8372 daripada 4.8294/8382 sebelum ini.

Sumber (https://www.forexkini.com/2020/06/ringgit-dibuka-rendah-berbanding-dolar.html)

Komen anda

Scroll to Top