Ringgit dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini apabila pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat di tengah-tengah penularan pantas COVID-19 dan penurunan harga minyak dunia, kata peniaga.

Pada 9.02 pagi, unit tempatan turun kepada 4.4180/4250 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3947/4012 pada Jumaat minggu lalu.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata pelabur merasa bimbang pada pagi ini berikutan peningkatan kes kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia.

“Penularan pantas wabak itu telah menyaksikan langkah pembendungan yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan aktiviti dunia seolah-oleh terhenti.

“Peniaga kini menjangkakan kemelesetan global yang teruk apabila Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengambil pendekatan drastik untuk membendung pandemik itu,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Innes berkata, meskipun situasi di China, Korea Selatan dan Singapura nampaknya telah terkawal, data terbaharu menunjukkan virus itu telah merebak ke negara-negara ASEAN lain dan India.

Seorang peniaga lain berkata penurunan harga minyak dunia di bawah AS$20 setong juga menjejaskan ringgit.

Ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent turun 1.66 peratus kepada AS$28.52 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0293/0350 daripda 3.0303/0369 pada paras penutup Jumaat minggu lalu, naik berbanding euro kepada 4.7131/7224 daripada 4.7204/7303 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.1253/1352 daripada 5.1926/2042.

Bagaimanapun ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.9895/9973 daripada paras penutup 3.9811/9898 pada Jumaat minggu lalu.

Sumber ( http://www.forexkini.com/2020/03/ringgit-dibuka-rendah.html )

Komen anda

Scroll to Top