Ringgit ditutup lebih rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit turun daripada kenaikan baru-baru ini untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini meskipun pemulihan harga minyak, di tengah-tengah kebimbangan terhadap COVID-19 apabila bilangan kes kembali meningkat di seluruh dunia.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2770/2850 berbanding paras penutup 4.2670/2730 pada Jumaat.

Seorang peniaga berkata, kebimbangan ‘gelombang kedua’ kes COVID-19 yang semakin meningkat di beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) termasuk Arizona, Florida, dan Carolinas telah menyebabkan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati.

“Peningkatan kes di AS membimbangkan namun sekatan pergerakan tidak dijangka dilaksanakan semula di negeri-negeri ini.

“Keadaan akan mengambil masa untuk kembali normal, oleh itu pasaran bimbang AS akan terus mencatatkan pertumbuhan lemah,” katanya kepada Bernama.

Menurut Johns Hopkins University, bilangan kes COVID-19 di AS mencecah 2.2 juta pada Jumaat dengan angka kematian menghampiri 120,000.

Pada Jumaat dan Sabtu, AS melaporkan lebih 30,000 kes baharu, jumlah harian tertinggi sejak 1 Mei.

Sementara itu, ringgit juga susut berbanding mata utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0657/0717 daripada 3.0614/0662 pada Jumaat minggu lalu dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.9987/9080 daripada 3.9897/9964.

Ringgit jatuh berbanding pound Britain kepada 5.3035/3151 daripada 5.2983/3075 dan susut berbanding euro kepada 4.7954/7052 daripada 4.7854/7926 sebelumnya.

Sumber (https://www.forexkini.com/2020/06/ringgit-ditutup-lebih-rendah_22.html)

Komen anda

Scroll to Top