Ringgit ditutup rendah hari ketiga berturut-turut

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutan untuk hari ketiga berturut-turut berikutan prospek penurunan harga minyak yang berlanjutan, terus menjejaskan permintaan.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.3350/3400 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.3300/3400 ketika ditutup pada Selasa.

Harga minyak terus menyusut dengan penanda aras kontrak minyak mentah AS, West Texas Intermediate mencecah paras terendah dalam tempoh 18 tahun kepada AS$19.20 setong, manakala Brent susut kepada AS$28.38, di tengah-tengah jangkaan permintaan yang merosot.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengunjurkan permintaan minyak global adalah berkurangan pada 2020 berikutan impak pandemik COVID-19 kepada ekonomi di seluruh dunia.

Jelasnya, pandemik itu akan memusnahkan pertumbuhan pemintaan minyak untuk hampir sedekad pada tahun ini, dengan penyusutan 9.3 juta tong sehari (pbd) berbanding 2019, dengan andaian bahawa sekatan perjalanan akan berkurangan pada separuh pertama 2020.

IEA berkata April dijangka mencatat 29 juta pbd lebih rendah berbanding tahun lalu, mencecah paras yang pernah direkodkan pada 1995.

Secara keseluruhan, IEA menjangkakan permintaan akan beransur pulih pada separuh kedua 2020, namun akan kekal lemah.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorpglobal, Stephen Innes, berkata persetujuan pengurangan bekalan oleh Pengeluar Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan ahli bersekutunya gagal menangani struktur lebihan bekalan dengan segera, sekali gus menjadikan harga minyak terjejas.

“Pasaran percaya bahawa perjanjian itu tidak akan hampir kepada mengimbangi penurunan permintaan dan tidak cukup untuk mempengaruhi paras bekalan semasa,” katanya.

Innes berkata, Institut Petroleum Amerika menganggarkan inventori minyak mentah yang besar berjumlah 13.14 juta tong bagi minggu yang berakhir 10 April di Amerika Syarikat.

Sementara itu ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0487/0529 daripada 3.0558/0639 dan naik berbanding pound Britain pada 5.4270/4350 daripada 5.4342/4489 pada Selasa.

Unit tempatan lemah berbanding yen kepada 4.0371/0425 daripada 4.0290/0395 dan susut berbanding euro kepada 4.7390/7462 daripada 4.7388/7514 semalam.

Sumber (forexkini.com/2020/04/ringgit-ditutup-rendah-hari-ketiga.html)

Komen anda

Scroll to Top