Ringgit dibuka lebih kukuh

KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh pada sesi awal urus niaga pagi ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan meningkatnya risiko yang menjuruskan kepada aktiviti penjualan dolar.

Ini terutamanya dirangsang oleh ketidakpastian berhubung pilihan raya presiden AS dan keyakinan mengenai rangsangan fiskal AS yang kian berkurangan.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1460/1510 berbanding dolar AS daripada 4.1500/1550 ketika ditutup semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata kelemahan dolar AS pada 2021 kekal agak membimbangkan, tetapi terpulang kepada pembuat dasar untuk mengubah keadaan itu.

Sementara itu, Ambank Investment Bank dalam notanya pula menjangkakan ringgit akan diniagakan antara paras sokongan 4.1291 dan 4.1390 manakala paras halangan antara 4.1654 dan 4.1773.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0503/0549 daripada 3.0497/0528, merosot berbanding euro kepada 4.8881/8944 daripada 4.8741/8780 dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.3865/3934 daripada 5.3804/3847.

Tetapi, mata wang tempatan agak baik berbanding yen kepada 3.39228/9286 daripada 3.9380/9413 sebelumnya.

Sumber (https://www.forexkini.com/2020/10/ringgit-dibuka-lebih-kukuh.html)

Komen anda

Scroll to Top