Ringgit dibuka lebih rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pembukaan hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung dan harga minyak mentah yang lebih rendah, kata penganalisis.

Pada 9.00 pagi, mata wang tempatan disebut pada 4.3500/3600 berbanding dolar AS daripada 4.3450/3510 semasa ditutup pada Rabu.

Harga minyak mentah Brent turun 1.64 peratus kepada AS$34.17 setong.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata minyak mentah kekal sebagai antara kaitan yang lemah bagi ringgit berikutan minyak mentah Brent berada di bawah AS$40 setong.

Beliau berkata terdapat petanda yang mula menunjukkan potensi masa depan bahawa pelabur yang kembali mencari hasil menjangkakan ekonomi di seluruh dunia akan pulih.

“Ini mendorong penurunan lindung nilai dolar AS yang ketara di seluruh pasaran pesat membangun, sementara pelabur yang membeli untuk mendapatkan hasil untuk lebih banyak tujuan meraih manfaat daripada ringgit.

“Ringgit sendiri tidak dianggap penjana keuntungan yang tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Harga minyak turun selepas Institut Petroleum Amerika menganggarkan peningkatan inventori minyak mentah yang besar, iaitu sebanyak 8.731 juta tong bagi minggu yang berakhir pada 22 Mei.

Innes berkata, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengurangkan lagi kadar faedah sebanyak 50 mata asas, bon Sekuriti Kerajaan Malaysia akan memperoleh beberapa faedah daripada pembeli asing walaupun situasi kesan lemah yuan dilihat yang menjejaskan landskap mata wang negara serantau.

Mengenai minyak mentah, berdasarkan pasaran minyak mungkin kembali stabil dengan cepat berbanding jangkaan, pelabur akan meneliti hasil mesyuarat OPEC+ yang dijadualkan berlangsung pada 9 Jun.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0653/0735 daripada 3.0705/0753 ketika ditutup pada Rabu serta naik berbanding yen Jepun kepada 4.0338/0438 daripada 4.0355/0422.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding euro kepada 4.7937/8065 daripada 4.7899/7978 semalam dan stabil berbanding pound Britain kepada 5.3353/3480 daripada 5.3609/3700.

Sumber (https://www.forexkini.com/2020/05/ringgit-dibuka-lebih-rendah.html)

Komen anda

Scroll to Top
Ada pertanyaan mengenai Weltrade? Hubungi team kami melalui WhatsApp di bawah atau melalui email kami [email protected].