Ringgit dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dibuka hari ini, disokong oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh apabila ia meningkat melebihi paras AS$45 setong.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1830/1890 berbanding dolar AS daripada 4.1900/1950 ketika ditutup pada Rabu.

Ketika ini, minyak mentah Brent didagangkan 0.31 peratus lebih rendah kepada AS$45.29 setong.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata sekiranya China mengesahkan semula perjanjian perdagangan fasa satu yang dimeterai dengan AS pada Januari lalu semasa kedua-duanya berada dalam rundingan perdagangan penting 15 Ogos ini, ringgit juga akan terus mencari sokongan daripada pemulihan ekonomi global yang lebih baik berbanding jangkaan.

“Pemulihan ekonomi yang lebih baik dijangka melemahkan dolar AS menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) pada September ini, namun kenaikan hasil AS memberi cabaran kepada pandangan tersebut,” katanya menerusi nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.4634/4729 daripada 5.4675/4745 ketika ditutup pada Rabu, dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0504/0552 daripada 3.0506/0547.

Ringgit stabil berbanding yen Jepun kepada 3.9203/9271 daripada 3.9232/9290 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.9405/9480 daripada 4.9300/9375.

Sumber (https://www.forexkini.com/2020/08/ringgit-dibuka-lebih-tinggi.html)

Komen anda

Scroll to Top
Ada pertanyaan mengenai Weltrade? Hubungi team kami melalui WhatsApp di bawah atau melalui email kami [email protected].