Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mendapat dorongan daripada pasaran bon AS serta aktiviti perniagaan AS dan bacaan jualan kediaman bagi Julai 2020 yang lebih baik.

Pada 9.03 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1800/1850 daripada 4.1780/1800 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Dalam nota hari ini, Kenanga Research berkata bagaimanapun, unit tempatan dijangka mendapat sokongan jika terdapat peningkatan dalam pasaran minyak mentah dan data perdagangan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata dolar AS telah diniagakan dengan lebih baik, terutamanya kepada ringgit, dengan kekecewaan bahawa minit mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS pada Julai kekurangan pandangan baharu dalam pelan pembelian bon bank pusat itu.

“Bagaimanapun, unit tempatan diniagakan agak rendah berikutan aliran keluar ekuiti pada Jumaat lepas, dan saya berpendapat ini mempunyai kaitan dengan aktiviti pengambilan untung ke atas saham momentum berikutan dolar US mencatatkan pengukuhan,” katanya.

Menurut laporan aliran dana MIDF Research yang dikeluarkan hari ini, aliran keluar dana asing berjumlah RM193.1 juta pada Jumaat lepas, mencatatkan aliran keluar bersih terbesar pada minggu itu.

Dari segi teknikal, Kenanga Research berkata petunjuk teknikal Purata Pergerakan Pesat (EMA) menunjukkan ringgit akan beralih kepada trend lemah, mencatatkan penurunan 0.04 peratus berbanding dolar US kepada 4.180 pada minggu ini.

“Analisis teknikal jangka pendek itu menunjukkan paras halangan segera pada 4.188, yang akan menguji paras 4.198,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0460/0501 daripada 3.0528/0553 pada Jumaat lepas dan naik berbanding yen kepada 3.9505/9563 daripada 3.9561/9583 sebelum ini.

Berbanding euro, ringgit meningkat kepada 4.9299/9362 daripada 4.9355/9383 dan naik berbanding pound kepada 5.4691/4761 daripada 5.5012/5046.

Sumber (https://www.forexkini.com/2020/08/ringgit-dibuka-rendah-berbanding-dolar_24.html)

Komen anda

Scroll to Top