Ringgit dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, terutama dalam situasi kes pandemik COVID-19 yang kian meningkat di negara itu.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.2800/2850 berbanding 4.2840/2900 Jumaat lalu.

Dalam satu kenyataan, Kenanga Research berkata perkhabaran positif mengenai kes COVID-19 yang semakin rendah di Malaysia dan keyakinan terhadap pasaran minyak turut menyokong sentimen positif untuk ringgit.

Bagaimanapun, ia menjelaskan ringgit mungkin boleh tertekan minggu ini sekiranya berlaku mod ‘risk-off’ (pergerakan harga dipandu oleh perubahan sikap pelabur terhadap risiko yang sanggup diambil oleh pelabur berkenaan) berikutan kes COVID-19 yang terus meningkat di seluruh dunia.

Sementara itu, pasaran turut menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 7 Julai.

“Firma itu menjangkakan BNM akan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas untuk mengukuhkan langkah-langkah fiskal dalam usaha menyokong pemulihan ekonomi,” kata Kenanga Research.

Pada masa yang sama, AmBank Research pula mengunjurkan urus niaga ringgit ialah antara paras sokongan 4.2764 dan 4.2809 manakala paras halangan antara 4.2941 dan 4.2990.

Ringgit diniaga kebanyakannya bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9740/9798 daripada 3.9855/9918 Jumaat lepas manakala kekal berbanding dolar Singapura pada 3.0718/0765 daripada 3.0718/0766.

Ringgit merosot berbanding pound Britain kepada 5.3406/3473 daripada 5.3332/3423 dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.8206/8275 daripada 4.8101/8185 sebelumnya.

Sumber (https://www.forexkini.com/2020/07/ringgit-dibuka-tinggi.html)

Komen anda

Scroll to Top