Ringgit ditutup lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan harga minyak mentah yang tinggi dan mata wang AS itu lemah, kata peniaga.

Sehingga 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2600/2640 berbanding dolar AS daripada 4.2680/2720 semasa ditutup pada Selasa.

Peniaga berkata, minyak mentah Brent diniagakan pada AS$43 setong, menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) lewat hari ini untuk membuat keputusan mengenai pengurangan bekalan.

Sebaliknya, dolar AS susut berikutan pedagang bimbang mengenai ketegangan diplomatik antara AS dan China serta kes COVID-19 yang meningkat.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes memberitahu Bernama walaupun ketegangan AS-China meningkat berikutan perintah untuk membatalkan status istimewa Hong Kong dengan AS, ringgit mencatatkan prestasi yang baik berikutan dolar AS susut disebabkan sentimen risiko global yang bertambah baik.

“Pengurangan yang besar dalam data inventori minyak AS, dilihat sebagai meningkat untuk minyak dan menyebabkan harga komoditi itu lebih tinggi, turut menyokong sentimen terhadap ringgit,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding pound kepada 5.3680/3748 daripada 5.3431/3485 pada Selasa dan susut berbanding yen kepada 3.9835/9877 daripada 3.9758/9806 semalam.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0661/0694 daripada 3.0628/0661 pada Selasa dan susut berbanding euro kepada 4.8675/8729 daripada 4.8484/8534. 

Sumber (forexkini.com/2020/07/ringgit-ditutup-lebih-tinggi_15.html)

Komen anda

Scroll to Top