KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal dagangan hari ini berikutan permintaan tinggi terhadap unit mata wang negara maju itu susulan peningkatan kebimbangan membabitkan penularan pandemik COVID-19, kata peniaga.
Pada 9 pagi, ringgit turun kepada 4.4180/4230 berbanding dolar AS daripada 4.4080/4120 sewaktu ditutup semalam.
Seorang peniaga berkata prestasi ringgit itu juga seiring dengan kelemahan mata wang pasaran serantau apabila COVID-19 terus menjejaskan sentimen pasaran dan pelabur bertindak mengeluarkan dana mereka.
Sementara itu, berbanding kelompok mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi.
Ia mengukuh sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.0394/0440 daripada 3.0425/0470 sewaktu ditutup pada Khamis, meningkat berbanding euro kepada 4.7109/7171 daripada 4.7759/7822 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9741/9800 daripada 4.0457/0574 semalam.
Namun, ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.0940/1010 daripada 5.0848/0923.
SUMBER ( http://www.forexkini.com/2020/03/ringgit-dibuka-rendah-441.html )