berita dunia

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka terus menyusut bagi tahun mendatang dengan 2019 disasar pada 3.1 peratus berbanding 3.2 peratus pada 2018, kata firma kajian IHS Markit.
“Ekonomi global memulakan 2018 dengan prestasi kukuh, namun menjelang akhir tahun momentum itu pudar,” kata Ketua Pakar Ekonomi IHS Markit Nariman Behravesh.
Beliau berkata risiko besar untuk tahun akan datang terhadap ekonomi global adalah kejatuhan pertumbuhan dagangan dunia yang merudum kepada hampir kosong peratus pada akhir 2018 berbanding 5 peratus pada awal tahun.
“Melalui jangkaan konflik dagangan semakin memuncak melibatkan negara kuasa dunia, dagangan dunia dijangka merosot,” katanya.
Berikut lima jangkaan ekonomi 2019 oleh IHS Markit:
1. Pertumbuhan Pasaran Membangun akan terus perlahan kepada 4.6 peratus
Beberapa ekonomi termasuk Brazil, India dan Rusia mengalami pertumbuhan sederhana pada 2018, sementara negara membangun lain seperti Argentina, Afrika Selatan dan Turki, berdepan tekanan kewangan besar dan mengalami kemelesetan atau hampir kepada kemelesetan ekonomi.
Pasaran membangun akan terus berdepan ketidaktentuan, termasuk pertumbuhan perlahan di negara maju, pertumbuhan dagangan dunia perlahan, pengukuhan nilai dolar, kedudukan kewangan lebih ketat, dan ketidaktentuan politik.
Namun beberapa negara dijangka mampu melawan trend ini terutama ekonomi dinamik dengan hutang rendah seperti di Asia.
2. Ekonomi Amerika Syarikat kekal di atas trend
Ekonomi Amerika dijangka tumbuh 2 peratus pada 2019 berdasarkan unjuran pertumbuhan sektor pekerjaan dan produktiviti.
Pada 2018, pertumbuhan AS di atas 2.9 peratus meskipun ia disebabkan oleh suntikan rangsangan dalam bentuk potongan cukai dan peningkatan perbelanjaan.
3. Ekonomi China akan terus perlahan
Secara tahunan ekonomi China berkembang perlahan dari 6.9 peratus pada 2017 kepada 6.6 peratus pada 2018 dan dijangka turun kepada 6.3 peratus pada 2019.
Kesan tarif tinggi yang dikenakan oleh AS terhadap negara itu adalah sedikit dan pihak berkuasa terus menyuntik rangsangan dalam ekonomi.
4. Pasaran komoditi akan terus berdepan ketidaktentuan
Permintaan komoditi kelihatan kukuh sekali gus memberikan sokongan kepada pasaran itu, menjadikan kejatuhan harga seperti pada tahun 2015 tidak akan berulang.
Bagaimanapun, ketidaktentuan pasaran komoditi akan kekal pada 2019 terutama pasaran minyak.
Kami jangkakan harga minyak akan meningkat sedikit untuk sementara pada purata AS$70 setong. Namun harga bagi minyak dan komoditi lain akan terus menyusut susulan permintaan lemah.
5. Risiko perubahan dasar akan meningkat namun tidak cukup untuk mewujudkan kemelesetan ekonomi
Kesalahan dasar kekal cabaran utama untuk pertumbuhan global bagi 2019 dan seterusnya. Konflik dagangan amat bahaya kerana ia mempunyai kecenderungan untuk menjadi semakin buruk dan di luar kawalan.
Peningkatan defisit bajet, hutang yang tinggi di AS, Eropah dan Jepun selain langkah yang salah oleh kebanyakan bank pusat mewujudkan ancaman besar kepada ekonomi global.

Komen anda

Scroll to Top
Ada pertanyaan mengenai Weltrade? Hubungi team kami melalui WhatsApp di bawah atau melalui email kami [email protected].